KUCHING, 16 Mac : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak kini menggunakan kaedah ‘sweeping’ dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak – kanak hilang, Eric Chang di muara Sungai Tebas yang masuk hari keempat.
Pengarah JBPM Sarawak, Datu Khirudin Drahman Husaini berkata, banyak faktor perlu dipertimbangkan dalam misi kali ini kerana ia melibatkan seorang kanak – kanak selain kawasan pencarian yang luas.
Katanya, pihak JBPM juga berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca selain kawasan pencarian membabitkan ‘pertemuan’ muara sungai yang besar dengan laut.
” Selain itu, badan kanak-kanak berusia empat tahun kecil.
Oleh itu, kita (JBPM) perlu pelbagaikan usaha kerana kaedah biasa kurang berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pentaulihan Pegawai Bomba Bantu (PBB) dan Pegawai Bantuan Bantuan Swift Water Resque Team (PBB SWART) siri 1 /2022 di sini hari ini.
Berkenaan kaedah sweeping, Khiruddin berkata, ia membabitkan kaedah pencarian di dasar yang lazimnya digunakan mencari manga yang hilang di sungai dengan anggota terlibat menggunakan formasi V bagi memastikan operasi yang lebih menyeluruh.
Sebelum ini, Eric Chang yang berusia empat tahun dilaporkan hilang pada 7 Mac lalu di rumah pengasuhnya di Taman Riverview, Bintawa dan laporan dibuat oleh keluarganya pada hari sama.
Susulan itu, polis menahan empat individu iaitu pasangan penjaga serta ibu dan ayah Eric.
Kes sebelum ini disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak – Kanak 2001 namun pada Ahad lepas, polis memaklumkan kertas siasatan diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – TVS
Sementara itu, Khiruddin turut memaklumkan JBPM Sarawak telah menubuhkan sebuah pasukan Pegawai Bomba Bantuan Safety Water and Rescue Team (PBB SWART). -TVS