KUALA LUMPUR, 15 Mac: Persediaan kerajaan bagi menghadapi fasa peralihan monsun serta langkah diambil untuk memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik Rusia-Ukraine antara isu yang akan dikupas pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat dalam laman sesawang Parlimen, pertanyaan mengenai kesiapsiagaan menghadapi fasa peralihan monsun yang bermula semalam hingga 15 Mei akan diajukan Datuk Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat) kepada Menteri Alam Sekitar dan Air semasa Waktu Pertanyaan Menteri.
Turut tersenarai, soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) kepada Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkaitan langkah proaktif kementerian dalam memastikan sumber bahan mentah dan input pertanian mencukupi berikutan konflik Rusia dan Ukraine serta Wong Hon Wai (PH-Bukit Bendera) meminta Menteri Kesihatan menyatakan skop untuk Kertas Putih Kesihatan yang sedang diusahakan.
Pada sesi soal jawab pula, Hannah Yeoh (PH-Segambut) bertanya mengenai status terkini pembangunan projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3), cadangan jajaran dan anggaran jangka masa lengkap yang diperlukan untuk setiap proses sehingga ia beroperasi kepada Menteri Pengangkutan.
Selain itu, isu pelajar sekolah yang terpaksa menggalas beban beg sekolah dengan kapasiti yang berat terutama bagi pelajar sekolah rendah akan diajukan Datuk Seri Salahuddin Ayub (PH-Pulai) kepada Menteri Kanan Pendidikan.
Steven Choong Shiau Yoon (PH-Tebrau) pula bertanyakan Menteri Komunikasi dan Multimedia mengenai langkah yang diambil kementerian itu dalam memastikan kemudahan akses Internet 4G memuaskan selepas perkhidmatan 3G ditamatkan di semua kawasan pedalaman atau luar bandar.
Selesai sesi tersebut, persidangan akan bersambung dengan sesi menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja melibatkan lapan kementerian didahului dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air.
Dewan Rakyat bersidang hingga 24 Mac ini. – TVS