KUCHING, 11 Mac: Penduduk di Penempatan Semula Bakun, Sungai Asap, Belaga bakal menikmati perkhidmatan yang lebih baik dengan penambahan ambulans ketiga di klinik kesihatan di situ.
Ambulans pacuan empat roda baharu itu disumbangkan oleh Sarawak Energy Berhad (SEB) menerusi program tanggungjawab sosial korporatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong berkata, ambulans berkenaan juga telah diubai suai supaya dapat berkhidmat dengan baik berdasarkan keadaan muka bumi di situ.
Katanya, langkah berkenaan juga akan membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) menangani masalah kekurangan ambulans di daerah itu sekiranya berlaku kecemasan yang memerlukan pengangkutan ke Hospital Bintulu.
“Inisiatif ini merupakan sokongan berterusan SEB terhadap masyarakat yang terlibat dengan program penempatan semula untuk memberi ruang kepada pembangunan Loji Hidroelektrik Bakun,” katanya menerusi kenyataan media.
Pada masa sama, Bunyak berkata, pihaknya berasa gembira kerana dapat membantu masyarakat setempat.
“Kami berbesar hati untuk menyokong usaha dan bekerjasama dengan JKNS demi manfaat masyarakat di Sungai Asap,” katanya. – TVS