KUALA LUMPUR, 3 Mac: Jualan Proton Holdings Bhd (Proton) melonjak 107 peratus pada Februari 2022, selepas mengalami tempoh mencabar pada Januari berikutan barisan pengeluarannya terjejas teruk akibat isu banjir yang belum selesai.
Ia menjual 9,225 unit di peringkat domestik dan eksport bulan lepas, sekali gus berada semula di kedudukan kedua dari segi jualan automotif selain meletakkan kembali Proton di landasan untuk pulih daripada kemerosotan jualan pada Januari.
“Penguasaan pasaran domestik Proton bagi Februari dianggarkan pada 20.2 peratus manakala untuk dua bulan pertama tahun ini, penguasaan pasaran terkumpul dianggarkan pada 15.9 peratus.
“Bagi pasaran automotif secara amnya, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini diunjurkan meningkat 11.4 peratus berbanding dua bulan pertama 2021,” menurutnya dalam kenyataan pada Khamis.
Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar, Roslan Abdullah berkata keupayaan syarikat mengeluarkan lebih banyak kereta merupakan punca utama pemulihan jualan pada Februari.
Beliau berkata ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan untuk mengembalikan Proton ke landasan yang betul.
Beliau berkata ia hanya dapat dicapai melalui usaha bersama yang cemerlang daripada vendor dan kakitangan untuk mengembalikan Proton ke landasan yang betul.
Menurut Proton, susulan penyambungan penuh pengeluaran di Shah Alam, Selangor dan Tanjung Malim, Perak jumlah jualan secara keseluruhannya mencatatkan peningkatan ketara. – TVS