Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Penyediaan mesin ATM dan CDM di Meludam bakal manfaatkan lebih 5,000 penduduk sekitar

KUCHING, 2 Mac: Perancangan untuk menyediakan kemudahan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan mesin deposit tunai (CDM) serta beberapa projek kesejahteraan rakyat di Meludam, dekat sini dijangka akan memanfaatkan lebih 5,000 penduduk kawasan sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, berdasarkan maklumat daripada Unit Pentadbiran Pejabat Daerah, projek itu dijangka akan siap dalam tempoh enam bulan.

Ini kerana katanya, pihak berkenaan tidak akan menggunakan mesin sedia ada sebaliknya menempah mesin baharu dari luar negara.

“Sebelum hujung tahun, saya harap kemudahan mesin ATM dan CDM di situ siap dibina sekaligus memberi kemudahan kepada penduduk sekitar termasuk di kampung – kampung yang berhampiran,” katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.

Katanya, sebelum ini penduduk Meludam terpaksa ke Pusa sekiranya mempunyai urusan perbankan dan perjalanan memakan masa sekitar 30 minit termasuk menunggu feri.

“Selain itu, apabila sampai, mereka terpaksa beratur kerana perlu mematuhi prosedur operasi standard, jadi hampir setengah hari masa dihabiskan untuk urusan berkenaan,” katanya.

Berhubung projek lain, Dayang Noorazah berkata, antara yang akan dilaksanakan segera ialah penyediaan penempatan baharu, pembesaran jalan kampung dan pembinaan Pejabat Daerah.

“Usaha ini selaras dengan komitmen kerajaan negeri di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Abang Johari yang mahu membawa pembangunan ke kawasan luar bandar,” katanya.

Selain itu katanya, projek lain yang diharap dapat disiapkan pada tahun ini termasuklah pembinaan Bank Agro, Jabatan Kerja Raya Sarawak dan Rumah Penghulu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan