KUALA LUMPUR, 19 Feb : Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berangkat melawat Taman Tasik Perdana di sini untuk beriadah bersama cucunda baginda berdua, Tengku Zayn Edin Shah Tengku Abu Bakar Ahmad.
Menurut catatan di akaun Facebook Istana Negara, lawatan selama dua jam itu amat bermakna buat Al-Sultan Abdullah kerana ia mengimbau kembali detik nostalgia baginda.
“Ini adalah kerana kali terakhir Seri Paduka berangkat melawat Taman Tasik Perdana ialah ketika baginda berusia 11 tahun iaitu pada 1970,” menurut catatan itu.
Menurut Istana Negara, keberangkatan tiba Seri Paduka berdua ke Taman Tasik Perdana pada 5 petang disambut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.
Seri Paduka berdua turut berkenan meluangkan masa beramah mesra dan bergambar bersama pengunjung-pengunjung di Taman Tasik Perdana.
Catatan itu turut memaparkan 14 keping gambar Seri Paduka berdua bersama Tengku Zayn Edin Shah di pelbagai lokasi di Taman Tasik Perdana. – TVS