BINTULU, 19 Feb : Persimpangan bertingkat sepanjang 1.23 kilometer (km) Nyabau kini dibuka kepada pengguna jalan raya.
Kementerian Kerja Raya menerusi kenyataan media memaklumkan, pembukaan itu dijangka akan melancarkan aliran trafik yang menghubungkan tiga bandar di Sarawak membabitkan Sibu, Bintulu dan Miri.
“Ini merupakan persimpangan bertingkat terpanjang dalam jajaran Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dan dibuka bermula dari laluan utama menuju ke Miri dan laluan ke Sibu,” jelas kenyataan berkenaan.
Majlis perasmian pembukaan hari ini disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Yang turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof.
Menurut kenyataan itu lagi, persimpangan bertingkat berkenaan merupakan salah satu jejambat dalam Seksyen Nyabau, Pakej Kerja 10 dari Bakun ke Niah.
“ Kerja pembinaan bermula pada 1 Mac 2017 dan siap sepenuhnya pada 26 Januari lalu dengan kos keseluruhan sebanyak RM164 juta,” jelas kementerian itu.-TVS