KUCHING, 1 Jan : Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) menyifatkan perjalanan sukan di negeri ini sepanjang 2021 sebagai sebuah persiapan ke arah pembangunan sukan yang lebih mampan pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ong Kong Swee berkata, SSC telah melaksanakan pelbagai aktiviti atau kejohanan kompetitif sebagai pendedahan awal untuk memantapkan lagi kontinjen Sarawak yang akan menyertai kejohanan dalam atau luar negara.
“Pada tahun lepas, meskipun dalam situasi pandemik, namun saya lihat aktiviti sukan di Sarawak masih dilaksanakan dengan baik meskipun akur terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi TVS baru – baru ini.
Mengulas lanjut, Kong Swee berkata, SSC juga telah melaksanakan beberapa program perkembangan sukan, pusat pemulaan, pusat cemerlang dan pusat elit.

Katanya, ia sebagai persediaan untuk kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) dan persediaan atlet – atlet Sarawak yang akan menyertai kejohanan antarabangsa.
Sementara itu, Kong Swee berkata, Sarawak juga bakal menjadi venue tumpuan sukan pada tahun ini apabila banyak kejohanan akan diadakan di negeri ini.
Katanya, ini selepas Sarawak dilihat berupaya membendung penularan jangkitan COVID-19 apabila mencatatkan kes positif baharu yang semakin kecil.
“ Pada tahun ini juga, SSC ingin hidupkan semula beberapa kejohanan sukan seperti Borneo International Games yang telah terhenti pada 2009,”katanya.
Beliau memberitahu, Kuching juga dijangka akan menjadi tuan rumah untuk Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia selain beberapa kejohanan dan persidangan sukan antarabangsa yang akan dianjurkan di negeri ini. -TVS