SIBU, 1 Jan : Pesta Kebudayaan Borneo (BCF) iaitu acara yang menjadi tarikan pelancongan utama di daerah ini mungkin akan kembali dianjurkan pada tahun ini jika situasi pandemik semakin pulih.
Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Kaunselor Clarence Ting Ing Horh berkata, selain itu pihaknya juga merancang untuk mengadakan beberapa program lain.
“ Sekiranya dapat dianjurkan semula, sudah pasti BCF akan menceriakan warga Sibu yang sudah dua tahun hidup dalam suasana tidak menentu akibat pandemik ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam perutusan khas tahun baharu menerusi Facebook semalam.
BCF yang merupakan acara kebudayaan terbesar di sini antara lain mengumpul masyarakat pelbagai etnik di Sibu dan seluruh Sarawak yang menonjolkan tarian, muzik dan makanan tradisional masing – masing.
Ia juga bermatlamat untuk meletakkan Sibu dan Sarawak dalam peta pelancongan dunia dan menarik kehadiran pelancong asing.
Sementara itu, Clarence mengakui, tahun lepas merupakan tempoh yang paling mencabar untuk MPS berikutan pandemik yang telah menganggu pelbagai urusan dan beliau turut berharap agar 2022 menjanjikan harapan yang lebih baik bagi warga Sibu.
“Pada masa sama, saya berharap agar orang ramai di sini terus mengamalkan norma baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk melawan virus ini di samping menjaga keselamatan diri dan ahli keluarga,” katanya. -TVS



