KUCHING, 12 Dis : Teraju utama Teater Muzikal Putri Santubong-The Warrior Princess, Maya Karin berharap agar karya berkenaan dapat dipentaskan di panggung terkemuka negara, Istana Budaya di Kuala Lumpur.
Aktres ternama berusia 42 tahun itu berkata, sekiranya karya seni berkenaan ‘diterbangkan’ ke ibu kota, ia akan memberi peluang kepada lebih ramai rakyat negara ini menikmatikan cerita berkenaan yang merupakan lagenda di Sarawak.
” Harapan saya supaya cerita ini dapat dibesarkan lagi,” katanya.
Maya berkata demikian dalam sidang media selepas pementasan malam pertama teater muzikal itu yang berlangsung di Kampung Budaya.
Teater ini ditaja oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.
Ia akan dipentaskan semalam dan hari ini bermula pukul 9. 00 malam dan ditayangkan secara langsung menerusi www.putrisantubong.com.my.
Teater ini mengisahkan perubahan dalam peradaban kehidupan manusia di bumi yang berteras kegemilangan seorang Putri dari kayangan iaitu Putri Santubong.

Selain Maya, ia juga dibintangi oleh ramai pelakon terkenal tanah air dan Sarawak, antaranya Azrel Ismail sebagai Raja Kayangan, Sofi Jikan membawa watak Dewa Kejora, Anding Indrawani (Datuk Nakhoda) dan Dewi Liana Seriestha sebagai Puteri Sejinjang.
Bercerita mengenai persembahan malam pertama, Maya berkata, dia bersyukur kerana perancangan berjalan lancar.
” Sebenarnya saya sedikit gementar sebelum beraksi tadi tetapi dengan sokongan peminat, saya berjaya melakukannya,” katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah yang turut hadir menyaksikan pementasan berkenaan berkata, pementasan ini merupakan kesinambungan usaha yang serius oleh kerajaan Sarawak dalam membantu merancakkan kembali industri seni kreatif.
“Kita dapat lihat latar tradisional yang disampaikan dengan cara yang begitu halus, penuh kesopanan dan kesusilaan orang Sarawak tetapi menggunakan teknologi moden,” katanya.
Saifuddin berkata , keunikan budaya seperti ini patut diketengahkan kepada dunia luar kerana industri kreatif mempunyai potensi besar kepada negara termasuk dari segi menggamit pelancong asing. -TVS


