KUCHING, 11 Nov : Program Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) yang merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak menunjukkan hasil membanggakan apabila terdapat di kalangan peserta mampu mencatatkan jualan melebihi RM17,000 sebulan.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan dan Komuniti dan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak -Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, program yang dimulakan sejak 2013 antara lain memberikan geran berjumlah RM5,000 dalam bentuk peralatan perniagaan kepada peserta.
” Mereka seterusnya dibimbing selama dua tahun melibatkan kursus kemahiran, pembungkusan, pelabelan serta pemasaran secara dalam talian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Kebersamaan Ke Arah Kesejahteraan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Fatimah berkata, beliau berbangga apabila peserta program UMK menunjukkan daya tahan dan meneruskan perniagaan masing – masing walaupun berdepan cabaran pandemik COVID-19.
” Ketika ini terdapat seramai 1,235 peserta UMK yang aktif dan masih dalam proses bimbingan,” katanya.
Pada majlis berkenaan, Fatimah turut meraikan 21 usahawan yang mencapai pencapaian cemerlang dalam menerusi beberapa kategori.
Sementara itu, turut diraikan ialah dua wira negara iaitu atlet angkat berat, Bonnie Bunyau Gustin yang meraih pingat emas pada Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo Jepun dan Jong Yee Khie yang meraih pingat perak pada temasya sama.-TVS