Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Ordinan Darurat terungkai sepenuhnya selepas diluluskan di Dewan Rakyat, Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 26 Okt — Ordinan-ordinan darurat yang berkuat kuasa di bawah Proklamasi Darurat akan terungkai sepenuhnya selepas diluluskan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, kata pakar perlembagaan Prof Datuk Dr Shamrahayu Ab Aziz.

Setakat ini, usul bagi mengungkai ordinan-ordinan itu diluluskan Dewan Rakyat hari ini selepas dibentang dan dibahas serta mendapat undian suara terbanyak.

Justeru, Shamrahayu yang juga Penyandang Kursi Institut Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata dari segi perundangan, ordinan berkenaan masih berkuat kuasa sehingga Dewan Negara meluluskan pengungkaian ordinan-ordinan itu.

“Ia hanya menamatkan (ordinan) darurat itu pada peringkat Dewan Rakyat, tapi ia akan sepenuhnya terungkai apabila usul itu diluluskan di Dewan Negara.

“Kalau hanya diluluskan di Dewan Rakyat, ia tak bermakna undang-undang tak boleh dilaksanakan… (ordinan) itu boleh dilaksanakan. Kalau Dewan Negara ungkai, baru betul-betul tamat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Menurut Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan, Proklamasi Darurat dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan di bawah Fasal (2B), hendaklah dibentangkan di hadapan kedua-dua Majlis Parlimen dan, jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis yang mengungkaikan Proklamasi atau ordinan itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelumnya menurut kuasa Proklamasi atau ordinan itu atau tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk mengeluarkan suatu Proklamasi baru di bawah Fasal (1) atau memasyhurkan apa-apa ordinan di bawah Fasal (2B).

Usul berkenaan yang dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, diluluskan dengan suara majoriti selepas dibahas 18 Ahli Dewan Rakyat.

Wan Junaidi ketika menggulung perbahasan usul itu berkata tanpa Proklamasi Darurat yang dilaksanakan dari Januari hingga Ogos lepas, kerajaan akan menghadapi kesukaran untuk mengambil tindakan-tindakan perlu bagi menangani wabak COVID-19 yang ketika itu memasuki tahap kritikal. 

Ia meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021; Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021.

Selain itu, ia turut meliputi Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021; Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021; dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Pada 16 Dis tahun lepas, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan Proklamasi Darurat di Parlimen Gerik, Perak dan DUN Bugaya, sekali gus menangguhkan PRK dua kerusi berkenaan.

— BERNAMA

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan