KUCHING, 10 Okt : Perdana Menteri memberitahu kerajaan masih belum lagi menetapkan tarikh khusus untuk Malaysia beralih ke fasa endemik.
Jelas Datuk Seri Ismail Sabri, ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) sedang merangka prosedur operasi standard (SOP) dan beberapa perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan berhubung keputusan berkenaan.
“KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan bekerjasama dalam menetapkan SOP yang sesuai. Mungkin juga SOP sedia ada akan dikurangkan melibatkan semua jenis aktiviti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kerajaan membenarkan rakyat yang sudah lengkap divaksin untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis diRaja Malaysia (PDRM) bermula esok setelah kadar vaksinasi dewasa negara mencecah 90 peratus hari ini.
Pada masa sama, Perdana Menteri, turut menasihatkan rakyat supaya terus berdisiplin dan mematuhi SOP serta belajar untuk hidup bersama-sama virus COVID-19.
Sementara itu, mengulas mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan aktiviti-aktiviti rentas negeri bermula esok, Perdana Menteri berkata, tiada lagi sebarang kemungkinan untuk kerajaan membatalkan keputusan berkenaan setelah dilaksanakan.
“Keputusan ini kekal kerana setelah pembukaan semua sektor dilakukan, ia akan terus berjalan meskipun kes harian COVID-19 meningkat,” jelasnya. – TVS



