KUALA LUMPUR, 10 Okt : Kekalahan kali kedua skuad kebangsaan dalam aksi persahabatan antarabangsa dalam tempoh tiga hari nyata mengundang kerisauan di kalangan peminat bola sepak tempatan.
Sejak malam tadi, sejurus kekalahan 1-5 skuad kendalian Tan Cheng Hoe kepada Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman, Jordan, penyokong tempatan menjadikan Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebagai ‘stadium’ untuk membuat bedah siasat terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh Harimau Malaya.
Kemaskini Facebook FAM mengenai keputusan perlawanan itu sehingga pukul 10 pagi tadi mengundang lebih dua ribu komen malah turut menerima lebih 4,500 emoji dengan 1,400 memberikan reaksi ketawa , 73 bersedih sementara 2,800 memberi tanda suka.
Meneliti komen – komen yang ditulis, majoriti peminat bola sepak tempatan berpendapat, keputusan berkenaan bukanlah satu kejutan.
Menurut Alias Zain, dia kini memahami faktor pasukan kebangsaan menjadi ‘pilihan’ negara luar untuk melakukan perlawanan persahabatan.
” Patutlah jadi rebutan pasukan luar runtuk perlawanan persahabatan. Senang kumpul mata,” tulisnya sinis.
Muhammad Afiq Shokri pula berpendapat, terlalu banyak kesilapan mudah dilakukan pemain negara sepanjang perlawanan berkenaan.
” Banyak sangat schoolboy error. Gaji besar , sentuhan pertama pon jahanam,” tulisnya.
Seorang lagi peminat, Luqman Hakim Ismail pula membangkitkan isu mengapa pemain pertahanan FC Midtjylland, Dion Johan Cools yang dilahirkan di Kuching, Sarawak enggan beraksi bersama skuad kebangsaan.
“Jangan pernah persoalkan jika Dion Cools enggan bermain bersama Malaysia lagi. Sebagai seorang pemain bertaraf Eropah, cukuplah pengalaman tiga perlawanan sebelum ini mendewasakan dan mengajar dia apa erti bermain di dalam sebuah pasukan seperti Malaysia ,” tulisnya.
Dalam perlawanan malam tadi, Malaysia ‘bertahan’ selama 17 minit sebelum dibolosi Uzbekistan menerusi jaringan Dostonbek Khamdamov.
Khamdamov sekali lagi melakar nama sebagai penjaring pada minit ke-29 sebelum Husain Norchaev menambah gol ketiga pada minit ke-33.
Begitupun, skuad negara berjaya memperoleh gol pertama pada masa tambahan separuh masa pertama menerusi Baddrol Bakhtiar.
Begitupun, tuan rumah yang menduduki ranking ke-82 dunia terus menguasai perlawanan pada babak kedua menerusi jaringan Ibrokhimkhalil Yuldashev pada minit ke-68 dan Azizbek Amanov melengkapkan kemenangan bergaya skuad yang digelar Asian Italy dengan jaringan kelima , dua minit sebelum perlawanan berakhir.
Dalam perlawanan persahabatan pertama Rabu lepas, skuad negara yang kini dalam persiapan menjelang Piala Suzuki AFF tewas 0-4 kepada Jordan yang merupakan pasukan ke-93 terbaik dunia. -TVS