KUALA LUMPUR, 5 Oktober — Pengasas bersama Facebook Mark Zuckerberg hari ini memohon maaf kepada semua pengguna di seluruh dunia yang mengalami gangguan dalam penggunaan Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Dalam hantaran di Facebooknya, beliau berkata kesemua aplikasi tersebut ini telahpun kembali pulih secara beransur-ansur.
“Facebook, Instagram, WhatsApp dan Messenger kini telah kembali beroperasi.
“Maaf atas gangguan yang berlaku hari ini — Saya tahu bagaimana anda bergantung kepada perkhidmatan kami untuk berhubungan bersama mereka yang anda sayangi,” kata Zukerberg dalam hantaran tersebut.
Sementara itu WhatsApp dalam ciapan di Tweeter menyatakan “Mohon maaf kepada semua yang telah tidak dapat menggunakan WhatsApp hari ini. Kami lakukan secara perlahan-lahan dan berhati-hati untuk membolehkan WhatsApps berfungsi semula.
Terdahulu, jutaan pengguna di seluruh dunia menghadapi masalah menggunakan ketiga-tiga perkhidmatan yang dimiliki Facebook itu menerusi laman sesawang atau pun telefon pintar.
— BERNAMA