KUCHING, 4 Okt: Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud akan berkongsi video yang memaparkan kehidupan kanak-kanaknya dengan rakyat Sarawak sempena ulangtahunnya yang ke-85 Ahad ini.
Dalam memgumumkan hal tersebut, Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata akan terdapat unsur “suspense” dalam video tersebut.
Tanpa menjelaskan lebih lanjut mengenai video tersebut, Dr Rundi bagaimanapun memaklumkan rakyat Sarawak bakal disajikan dengan tayangan video zaman kanak-kanak Tun Pehin yang berdurasi tiga minit.
“Pada malam kemuncak iaitu pada 10 Oktober kita ada tayangan video khas iaitu zaman kanak-kanak TYT, zaman persekolahan beliau pada waktu dahulu,” katanya kepada media.
Beliau yang juga menteri pengelola sambutan tersebut menambah, sambutan yang berkonsepkan hibrid itu akan dibawakan menerusi TVS di salursan 122 Astro yang menjadi stesen rasmi sambutan tersebut.
“Pada sebelah malamnya, Tun Pehin akan menghadiri majlis makan malam bersama-sama menteri kabinet dan tetamu kehormat yang lain.
“Program ini akan diserikan lagi oleh persembahan Irama dan Lagu anjuran TVS yang membariskan artis-artis ternama kelahiran Sarawak yang akan mengalunkan lagu-lagu seniman Agung Tan Sri P. Ramlee yang amat diminati Tun Pehin.
“Majlis juga akan diteruskan dengan upacara memotong kek pulut kuning sebagai tanda ulangtahun Tun Pehin dan juga ulangtahun pertama TVS,”tambah Dr Rundi.