Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Fasiliti sukan dibuka secara berperingkat dengan SOP sesuai

ByNur Suhaida Muliyono

KUCHING, 17 Sept: Kerajaan negeri sedang meneliti perancangan untuk membuka semula lebih banyak fasiliti sukan dan membenarkan sukan yang melibatkan sentuhan antara pemain secara berperingkat, dengan garis panduan tertentu.

Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata garis panduan berkenaan masih dibincangkan antara Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS).

“Kita akan buka semula lebih banyak fasiliti sukan secara berperingkat tetapi garis panduan tertentu harus dibuat.

“Antaranya, yang kita semua sedia maklum ialah lengkap dua dos vaksin, mengimbas kod QR MySejahtera, memakai pelitup separuh muka dan jaga penjarakan sosial,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Hub Sukan Tenpin Boling Sarawak di Megalanes Emart Batu Kawa pagi tadi.

Tambah beliau, sekiranya kesemua atlet yang terlibat dalam acara sukan berkenaan sudah menerima dua dos vaksin, pihaknya boleh beri pertimbangan sewajarnya.

Ditanya tentang penggunaan kit ujian kendiri COVID-19 sebelum memulakan sebarang aktiviti sukan, Karim menjelaskan perkara itu terpulang kepada para penganjur dan melihat kepada kesesuaian semasa.

“Bagi saya, kit ujian kendiri ini memerlukan perbelanjaan dan boleh menjadi beban sekiranya hendak digunakan terlalu kerap.

“Namun, sekiranya melibatkan penyertaan dari luar (kebangsaan/antarabangsa), mungkin kita boleh gunakan kit ujian kendiri itu,” katanya.

Hadir sama pada majlis perasmian itu Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee. -TVS

Tags: #bm, #karim, #sukan

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan