MARUDI, 9 SEPT : Kesempitan hidup ekoran pandemik Covid-19 seolah-olah terbukti apabila sekumpulan penerima Bantuan Khas Covid-19 (BKC) sanggup meredah banjir.
Mereka menerima bantuan tersebut di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Pekan Marudi dengan menaiki perahu.
Perkara tersebut mendapat perhatian Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengucapkan tahniah kepada BSN cawangan Marudi, Sarawak kerana masih beroperasi walaupun dalam keadaan sedemikian.
“Kerajaan telah memperuntukkan RM3.1 bilion untuk memanfaatkan hampir 10 juta rakyat melalui BKC Fasa 1,” katanya melalui laman Facebook beliau.
Dalam pada itu banjir di Pekan Marudi setakat pada jam 6 petang Rabu telah menunjukkan penurunan berbanding pagi Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marudi, Maureen Sim Ah Lian berkata paras air di Pekan Marudi menunjukkan penurunan sebanyak tiga inci.
“Rondaan Basukan Bomba Marudi mendapati air banjir surut sebanyak tiga inci,” katanya ketika dihubungi.
Aktiviti harian di Pekan Marudi kini dilaporkan masih berjalan seperti biasa walaupun beberapa terdapat beberapa batang jalan raya yang masih belum dapat digunakan lagi berikutan taking an air banjir.
“Aktiviti harian masih berjalan seperti biasa cuma agak terhad dan ada beberapa kedai runcit yang masih tutup sebab keadaan masih belum pulih sepenuhnya.
“Ada yang sudah dibuka, ada yang masih belum dapat beroperasi,” jelasnya lagi.
Penduduk di pekan Marudi juga dinasihatkan untuk mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan keselamatan semua terjamin.
“Walaupun keadaan air makin surut, penduduk di Pekan Marudi dan di seluruh kawasan yang terjejas banjir masih perlu sentiasa berwaspada dan berjaga-jaga disebabkan keadaaan cuaca yang tidak menentu,” tambah beliau lagi.
Penduduk Marudi yang memerlukan bantuan perpindahan sementara daripada Pasukan Bomba dan Penyelamat Marudi, boleh hubungi talian 085-775189.