MERADONG, 31 Ogos : Kebiasaan rakyat Malaysia memilih untuk memaparkan semangat patriotisme dengan mengenakan pakaian bermotifkan bendera Jalur Gemilang.
Namun, semangat patriotik sekumpulan badan beruniform terbukti apabila memilih hari Kemerdekaan untuk menyelamatkan nyawa.
Jika dahulu nenek moyang kita bertarung nyawa menyelamatkan negara dari dijajah, pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) pula memilih untuk menyelamatkan nyawa dengan menderma darah.
Baru-baru ini, RELA Daerah Meradong telah melancarkan inisiatif murni dengan menganjurkan kempen derma darah sempena sambutan kemerdekaan.
Menurut Penolong Pegawai RELA daerah Meradong, Shawalludin Alwi, program yang berlangsung di dewan pejabat daerah Meradong itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial pihaknya untuk membantu insan lain di samping menampung keperluan darah di hospital Sarikei.
“Kempen derma darah ini adalah sebahagian daripada inisiatif ibu pejabat kami sempena bulan kemerdekaan ke-64 tahun 2021.
“Lebih 30 orang anggota RELA dan orang awam telah datang menyahut seruan program ini,” katanya ketika ditemui TVS pada Program Kempen Derma Darah bagi RELA Daerah Meradong Sempena Bulan Kemerdekaan 2021, baru-baru ini.
Jelasnya, penganjuran aktiviti seperti itu juga dapat menyemai kesedaran tentang betapa pentingnya menderma darah dalam kalangan masyarakat khususnya anggota RELA.
Sumbangan penderma memberi impak besar kerana mampu menyelamatkan nyawa mereka yang memerlukan.
“Kempen ini juga sebahagian daripada program tahunan kita namun sebelum ini terpaksa ditangguhkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Alhamdulillahlah, sambutan amat menggalakkan bukan sahaja daripada anggota RELA sendiri malah juga orang awam,” katanya.
Objektif utama program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada anggota RELA tentang kepentingan penjagaan kesihatan di samping mengukuh perpaduan dan menyemai keprihatinan sesama insan.
Pada masa sama, Shawalludin menegaskan penganjuran kempen mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengelak sebarang masalah penularan wabak COVID-19 berlaku.