Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

BAM sasar kekalkan keupayaan beraksi pemain remaja dengan kejohanan ranking dalaman

ByTVS

KUALA LUMPUR, 22 Ogos — Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akan menganjurkan kejohanan ranking dalaman remaja dari 23 hingga 27 Ogos ini bagi memastikan pemain remaja sentiasa berupaya beraksi berikutan kurang menyertai kejohanan antarabangsa akibat pandemik COVID-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan BAM Datuk Ng Chin Chai berkata kejohanan yang dijadualkan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) disasarkan untuk memberi motivasi kepada pemain muda untuk kekal berdaya saing.  

Beliau berkata 59 pemain remaja negara  akan bertanding dalam tiga kumpulan kategori umur – Bawah (B) -18, B-16 dan B-14 untuk slot perlawanan “play off” dari 30 hingga 31 Ogos ini dan berpeluang untuk diletakkan dalam skuad senior. 

“Kejohanan sedemikian akan mendedahkan pemain-pemain ini kepada keadaan menyerupai  pertandingan sebenar selain daripada memberi peluang kepada kami menilai prestasi mereka.  Ini adalah penting supaya pemain terus mencabar dan meningkatkan keupayaan mereka sendiri. 

Bahkan kejohanan ini akan digunakan untuk menentukan ranking pemain bagi tujuan pemilihan dan penyertaan kejohanan antarabangsa sekitar Oktober dan November di Eropah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chin Chai berkata ia merupakan kejohanan ranking dalaman remaja kedua tahun ini, selepas kejohanan pertama berlangsung April lepas, sambil menambah pemain kategori Bawah 16 dan Bawah 18 telah menjalani latihan intensif beberapa minggu lepas selepas melaporkan diri di akademi sejak akhir Julai.

Sementara itu, pemain remaja kebangsaan Muhd Fazriq Mohd Razif juga teruja untuk kembali beraksi sejak kejohanan antarabangsa terakhir yang disertainya di Slovenia dan Austria. 

“Kekurangan kejohanan memberi kesan kepada kecergasan kami tetapi latihan di sini (ABM) membantu kami untuk kembali cergas. Jurulatih kami memantau menerusi aplikasi Zoom,” kata Muhd Fazriq.

Muhd Fazriq yang  merupakan anak lelaki bekas jaguh beregu lelaki negara Datuk Mohd Razif Sidek mengakui kejohanan dalaman juga adalah mencabar kerana pemain lawan adalah rakan sepasukan dan mereka mengenali satu sama lain.

“Rakan sepasukan saya sudah pasti akan melakukan yang terbaik untuk memburu slot kejohanan luar negara begitu juga saya, saya akan berikan yang terbaik,” katanya. 

— BERNAMA

Ikuti TVS di TelegramFacebook, TwitterInstagramTikTok dan YouTube.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan