MIRI : Seekor buaya jantan sepanjang 13 kaki yang sering membuat “kemunculan” berhampiran kawasan ladang Suai di Miri akhirnya ditangkap Pasukan Tindakan Pantas Hidupan Liar (SWAT) dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) Miri.
Pengurus Wilayah SFC bahagian Miri, Rudolph Grang Ak Mudit memaklumkan mereka telah menerima sebanyak tiga aduan di kawasan tersebut mengenai penemuan buaya dan pernah terjadi kes serangan buaya di kawasan tersebut.
“Ini aduan pertama di mana pekerja ladang telah digigit oleh buaya tempoh hari dan seleepas tu kita pergi ke kawasan tersebut.
“Sebelum ini kami memang ada memasang perangkap buaya di kawasan tersebut memandangkan terdapat aduan mengenai kelibat buaya tetapi buaya lain yang ditangkap, iaitu buaya betina, bukan si Buang Suai.
“Bujang Suai masuk ke dalam perangkap yang telah dipasang pihak SFC sejak 2 Jun lepas,” jelasnya.
Buaya itu kemudiannya dihantar ke Crocodile Farm Kuala Baram untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membuat laporan mengenai kehadiran reptilia ini atau sebarang hidupan liar yang lain boleh menghubungi terus talian hotline SFC Kuching : 019-8859996, Sibu : 019-8883561, Bintulu : 019-8332737 dan Miri : 019-8290994.




