JULAU: Seorang lelaki warga emas dilaporkan hilang selepas terjatuh ke dalam sungai di Rumah Gerasu, Nanga Mujok di sini.
Kejadian itu dipercayai berlaku ketika mangsa yang berusia 75 tahun itu cuba menaiki perahu kira-kira 4.30 petang semalam.
Laporan kehilangan mangsa telah dibuat oleh anggota keluarganya di Balai Polis Julau sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan, kata Ketua Polis Daerah Julau DSP Andam Sulin.
Operasi SAR itu turut disertai sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor.
Ketua BBP Bintangor, Nicholas Belulin berkata pasukannya bergegas ke lokasi kejadian yang mengambil masa tiga jam perjalanan menggunakan perahu sejurus menerima laporan insiden pada 9.30 pagi tadi.
“Difahamkan mangsa dihanyutkan arus deras sebelum hilang,” jelasnya.
-Sumber Suara Sarawak