KUALA LUMPUR: Dua atlet paralimpik, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie perlu meraih sekurang-kurangnya lima kedudukan terbaik pada kejohanan Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 19-24 Jun ini, bagi mencerahkan peluang layak ke Sukan Paralimpik Tokyo, Ogos depan.
Jurulatih powerlifting negara Jamil Adam melontarkan cabaran kepada Bonnie yang akan turun bersaing dalam kategori lelaki atas 72 kilogram (kg) untuk cuba meraih kedudukan dua teratas manakala Yee Khie pula diharap menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas bagi kategori lelaki atas 107 kg.
“Berdasarkan prestasi semasa dan kesungguhan dipamerkan Bonnie dan Yee Khie dalam sesi latihan di Bukit Jalil ketika ini, saya percaya mereka boleh menyinar di UAE yang merupakan kejohanan dan peluang akhir mereka ke Tokyo,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Jamil juga berharap agar Bonnie yang merangkul pingat emas pada Kejohanan Piala Dunia Powerlifting Para Dunia di Bangkok, Thailand bulan lepas mampu mengekalkan momentumnya sehingga ke kejohanan di UAE itu.
Atlet berusia 20 tahun dari Kuching, Sarawak itu berjaya melakukan angkatan seberat 226 kg untuk meraih pingat emas dalam kategori lelaki atas 72 kg, pencapaian yang jelas bertambah baik berbanding angkatan 207 kg dilakukannya untuk memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Powerlifting Para Dunia 2019 di Nur-Sultan, Kazakhstan.
Pada kejohanan itu, juara Sukan Paralimpik London 2012 Nader Moradi dari Iran merangkul pingat perak dengan angkatan 204 kg manakala Alexandr Daskov dari Kazakhstan di tempat ketiga (140 kg).
Kontinjen negara menamatkan saingan pada kejohanan di Bangkok itu dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan daripada lapan negara yang bertanding dengan membawa pulang tiga emas dan tiga gangsa.
Sementara itu, Jamil menjangkakan saingan sengit pastinya menanti Bonnie dan Yee Khie selepas beliau dimaklumkan ramai atlet para yang hebat bakal turun beraksi dalam kejohanan di Dubai itu.
Beliau berkata mereka tetap bersemangat menjalani latihan walaupun negara dilanda situasi pandemik COVID-19 dan juga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurutnya persiapan atlet tetap berjalan rancak walaupun terpaksa melalui pemeriksaan kesihatan dan prosedur operasi standard yang ketat sepanjang sesi latihan dijalankan.
— BERNAMA