KUCHING (1 Jun) – Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kemalangan langgar lari ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya di pusat bandar Kuching dalam kejadian di Jalan Batu Kawa pada jam 10.45 malam Isnin.
Susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di mana tiada lagi pergerakan dibenarkan selepas pukul 10 malam, jasad lelaki berusia 40 tahun itu ditemui terbaring di atas jalan raya lengang berdekatan sebuah stesen minyak dan hanya dijumpai oleh Unit Peronda Polis yang bertugas di mana salah seorang kakitangan mengenal pasti mangsa merupakan saudaranya, Safiee Yusup.
Menurut sumber, motosikal mangsa dikatakan diseret agak jauh dari lokasi jasad mangsa ditemui iaitu kira-kira 10 kilometer dan ditemui berhampiran sebuah unit komersial di Jalan Batu Kawa-Matang.
Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan dalaman disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramedik yang hadir di lokasi.
Mayat kemudian dibawa ke Hospital Umum Sarawak untuk tindakan selanjutnya.
Ketika dihubungi, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu mengesahkan kes berkenaan dan menyatakan bahawa siasatan dijalankan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Saksi serta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan diminta tampil untuk membantu siasatan polis.