KUCHING, MEI 25: Pernah beberapa kali dikejar anjing lantaran tidak dapat mendengar bunyi salakan sebagai amaran, seorang penghantar makanan pekak tidak gentar meneruskan usaha mencari rezeki.
Abdul Shafig Saperi atau lebih mesra dikenali sebagai Bobo, 34, sebenarnya merupakan satu-satunya penghantar makanan pekak di Sarawak.
Walaupun kekurangan dari segi pendengaran, ada sahaja cara Bobo untuk meneruskan kelangsungan hidup bekerja mengantar makanan dengan menggunakan cara tersendiri.
Mencatatkan pengalamannya menerusi tulisan kepada TVS, Bobo memberitahu beliau akan bangun seawal 6 setengah pagi untuk melakukan segala persiapan sebelum keluar bekerja pada jam 8 pagi.
Sebelum keluar bekerja, Bobo terlebih dahulu akan memberikan kucing kesayangannya makan.
“Terdapat pelanggan yang tidak tahu adanya golongan ‘rider’ yang pekak.
“Jadi, pelanggan kadang-kadang akan menelefon saya, tetapi saya tidak jawab.
“ Saya hanya berhubung dengan pelanggan dengan menggunakan ‘chat’ dalam aplikasi penghantar makanan dan menyatakan saya pekak. Saya turut berharap agar pelanggan dapat belajar bahasa isyarat seperti ‘terima kasih’,” beritahu Bobo.
Menceritakan pengalamannya dikejar anjing ketika menghantar makanan, Bobo yang ketika itu menekan loceng rumah pelanggan, mengharapkan sahutan daripada tuan rumah tetapi yang menyahut adalah salakan anjing penjaga rumah terbabit yang seterusnya mengejarnya.
Bagi Bobo, selagi ada kudrat, dia akan terus berusaha mencari rezeki menabung pendapatan.
Selain itu, bobo turut terlibat membuat penterjemahan lagu negeri Sarawak ‘Ibu Pertiwiku’ dalam bahasa isyarat Melayu.
Ini kerana golongan orang pekak katanya, hanya diajar dalam kod tangan sahaja.
Kongsinya, pada tahun 2018, semasa Sukan Orang Pekak Sarawak, lagu kebangsaan sarawak ‘Ibu Pertiwiku’ tidak menggunakan bahasa isyarat yang betul.
“ Dari majlis itu, saya cuba untuk menterjemahkannya dengan menggunakan isyarat yang betul agar semua golongan pekak di sarawak dapat menggunakannya dan bukan menggunakan kod tangan,” tambah Bobo.