SIBU: Seorang konstabel polis didakwa di Mahkamah Majistret di sini kerana membunuh rakan sejawatnya pada 6 Mei lepas.
Bagaimanapun tiada pengakuan diambil daripada Mohamad Nur Alif Mazlan, 28, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Hazwani Hanim Ramli.
Konstabel Muhamad Nur Alif Mazlan, 28, didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan itu terhadap Konstabel Norhalim Tumiran, 24, di sebuah rumah bernombor 8A, Lorong Permai Timur 9, di sini antara 5.45 pagi dan 6.30 petang pada 6 Mei.
Dua lagi konstabel berusia 21 dan 23 tahun, yang juga telah ditangkap dan disiasat di bawah Kanun yang sama, dibebaskan oleh mahkamah dan akan menjadi saksi pendakwaan untuk kes tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Zulfadhli Tuah dan Rex Yi Min, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Berdasarkan laporan sebelum ini, tiga anggota polis ditahan berhubung kes kematian rakan mereka di sebuah rumah di Lorong Permai Timur 9.
Mangsa yang berasal dari Pahang dan anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB), maut dengan kesan tembakan di bahagian atas telinga kanan.
Mangsa baharu sahaja bertugas sebulan setengah di Sibu selepas menamatkan latihan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Segamat.
Jenazah mangsa kemudiannya dibawa pulang ke kampungnya di Felda Bukit Damar, Lanchang di Temerloh, Pahang untuk dikebumikan.