ANCAMAN penularan Covid telah mengubah gaya pembelian masyarakat negara ini apabila semakin ramai mula beralih kepada urus niaga dalam talian, termasuk membeli baju raya untuk meraikan sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Namun, siapa sangka di sebalik fenomena itu, masih ada limpahan rezeki untuk tukang jahit seperti Dayang Hamjidah Abang Skawi, 65, di Kampung Abang Ali, Bintangor.
Ditemui di rumahnya di Bintangor, beliau berkata pembelian baju raya siap pakai atau ready to wear (RTW) melalui E-dagang dan pasar raya juga tidak menghalang orang ramai membuat tempahan seperti biasa.
“Memandangkan musim ini banyak orang memesan baju secara online tetapi bagi saya sebagai tukang jahit dan berpengalaman dalam bidang ini, sekarang ini pun saya rasa sambutan orang masih lagi mengalakkan.
“Sehingga kan saya tak mampu dan tempahani saat akhir saya terpaksa tolak, sambutan masih macam biasa dan tidak menggugat dari mendapat tempahan dari pelanggan.
“Saya terima tempahan rasanya sama sahaja macam tahun-tahun yang lepas walaupun saya tidak pasti ke mana mereka beraya memakai baju raya memandangkan Sarawak kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.
Menurutnya, tempahan jahitan bermula seawal Februari hingga Mac lalu namun kata Dayang, penularan Covid-19 menyebabkan ramai pelanggannya membuat tempahan pada saat akhir.
“Kalau sebelum ini memang banyak tempahan dari awal tahun dan bila kita akan buka untuk tempahan, contohnya masuk bulan Muharam dah boleh mulakan tempahan dan kita akan buka untuk beberapa bulan lagi sehingga kita akan bagi tahu pelanggan bila tarikh untuk hantar tempahan yang terakhir.
“Tetapi semenjak musim Covid pada tahun ini dan tahun lepas, tahun lepas agak merudum sedikit sebab permulaan Covid dan tahun ini pula banyak tempahan saat akhir, saat akhir pun banyak juga yang membuat tempahan tetapi saya ada banyak lagi tempahan yang belum disiapkan,” katanya.
Keadaan itu ujarnya, memaksa beliau menolak sebahagian tempahan berkenaan lantaran bimbang tidak dapat menyiapkannya sebelum lebaran.
Tukang jahit yang berpengalaman selama 28 tahun ini tidak hanya terkenal dengan hasil tangan yang berkualiti tinggi tetapi juga mampu menghasilkan pelbagai fesyen mengikut selera pelanggan.
“Jika bulan biasa, saya mungkin menerima tempahan baju sebanyak 40 hingga 50 pasang tetapi jumlah itu menjadi hampir dua kali ganda menjelang Hari Raya walaupun dalam suasana PKP ini,” katanya lagi
Pada masa yang sama Dayang Hamjidah juga mengambil upah menjahit baju raya kanak-kanak dan pakaian seragam di samping menyediakan khidmat sulaman dengan kadar bayaran yang sangat berpatutan.
Justeru kata Dayang Hamjidah, beliau bersedia untuk berkongsi ilmu kepada sesiapa sahaja terutama generasi muda yang berminat untuk menceburi bidang itu.