KUALA LUMPUR: Program dakwah melalui platform radio rasmi masjid merupakan medium alternatif dan berinovasi dalam penyampaian dakwah norma baharu susulan pandemik COVID-19, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Justeru katanya penubuhan Konti Jamek FM di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) melalui Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur, dapat menjadi pelopor kepada masjid lain di seluruh negara untuk melaksanakan aktiviti dakwah melalui pendekatan itu.
“Dakwah melalui radio rasmi masjid akan beri kesan kepada khalayak hari ini yang menjalani norma baharu untuk ke masjid atau surau dengan (mematuhi) prosedur operasi standard yang ketat susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan kehadiran jemaah di masjid termasuk untuk mencari ilmu.
“Jarang kita dengar masjid ada radio sendiri atau rancangannya sendiri, usaha seperti ini diharapkan akan pergi (diperluas) kepada masjid-masjid lain dan kita boleh sampaikan (dakwah) dengan penuh berhemah dan berhikmah tentang perkara-perkara yang membawa kebaikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konti Jamek FM dan Gerobok Muhibah di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur di sini.
Turut hadir, Pengarah JAWI Mohd Ajib Ismail dan Pengerusi Eksekutif KK Supermart & Superstore Sdn Bdn Datuk Seri Dr KK Chai.
Terdahulu, Zulkifli dalam ucapannya berkata platform aktiviti dakwah melalui konti radio masjid secara interaktif merupakan Pelan Pengimarahan Masjid-Masjid Di Wilayah Persekutuan Tahun 2020-2024 untuk mengimarahkan pengurusan masjid dan menjalankan dakwah mesra jemaah.
“Pelan ini juga di bawah teras sosial, komuniti dan alam sekitar iaitu membela golongan yang kurang berkemampuan dan masjid perlu mewujudkan hubungan serta kerjasama erat dengan rakan strategik untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan asnaf di Kuala Lumpur yang terjejas pendapatan berikutan COVID-19,” katanya.
Pada majlis sama, Zulkifli turut melancarkan Gerobok Muhibah yang menjadi pusat agihan barangan keperluan asas kepada golongan sasaran tanpa mengira bangsa dan agama yang diwujudkan dengan kerjasama KK Mart.
Konti Jamek FM dengan slogan ‘Jauh di Mata Dekat di Hati’ yang bersiaran menerusi media sosial Facebook dan YouTube Masjid Jamek Sultan Abdul Samad Kuala Lumpur mengandungi pelbagai segmen, antaranya Kuiz Tajwid, Fardu Ain, Fiqah, Tazkirah, Muhasabah, Jamek Iqra’, Identiti Bangunan Bersejarah dan Salah Faham tentang Islam yang dikendalikan juruhebah dalam kalangan pegawai dan kakitangan masjid sendiri.
Konti Jamek FM yang beroperasi sejak pelaksanaan PKP bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari, juga boleh didengari melalui aplikasi radio dalam talian yang boleh dimuat turun menerusi playstore android secara percuma.
— BERNAMA