Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

25 Menara Telekomunikasi Baharu Sedang Dibina Di Kedah

ByEekbal Yusuf

ALOR SETAR: Sebanyak 25 menara telekomunikasi baharu sedang dalam proses pembinaan di seluruh Kedah yang dijangka siap dan beroperasi secara berperingkat bermula suku pertama tahun depan, persidangan Dewan Undangan Negeri diberitahu semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Komunikasi dan Multimedia, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Kedah Wan Romani Wan Salim berkata langkah itu antara usaha penambahbaikan jaringan telekomunikasi, sekali gus meningkatkan kemudahan teknologi maklumat di negeri tersebut.

“Bagi perkhidmatan jalur lebar talian tetap pula, melalui projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB), sebanyak 4,736 sambungan lagi masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap secara berperingkat menjelang penghujung tahun ini,” katanya ketika menjawab soalan Azhar Ibrahim (PAS-Ayer Hitam).

Azhar ingin tahu langkah dan kemajuan dalam bidang komunikasi sejak kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri.

Wan Romani berkata selain itu, lokasi yang mempunyai capaian lemah atau tiada liputan 4G juga dikenal pasti menerusi kerjasama dengan pihak pentadbiran daerah seluruh negeri di samping aduan awam berkaitan situasi liputan di beberapa kawasan berkaitan.

“Ini sebagai rujukan kepada ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dalam merencana perancangan dan aspirasi pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),” katanya.

Untuk perkhidmatan jalur lebar mudah alih pula, beliau berkata sebanyak 105 menara telekomunikasi baharu akan dibina, manakala 1,162 alat pemancar komunikasi sedia ada akan dinaik taraf kepada teknologi 4G.

“Kesemua inisiatif ini akan dilaksanakan secara berperingkat dari tahun ini hingga 2022,” katanya menjawab soalan tambahan Azhar yang ingin tahu sama ada Wan Romani bersetuju hal berkaitan komunikasi perlu disegerakan.

Selain itu, Wan Romani berkata di bawah pelan JENDELA, rangkaian gentian optik yang memberi akses kepada perkhidmatan berkelajuan gigabait akan diperluaskan kepada 91,393 premis di negeri tersebut.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan