KUCHING: Pembinaan Masjid Kampung Semarang di Pusa di tapak baharu dijangka akan bermula pada penghujung bulan depan.
Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, ia akan menelan kos RM2.5 juta dan dibina di atas tapak tanah seluas 5.1 ekar.
Menurutnya, pembinaan masjid tersebut pernah dicadangkan ketika era Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem.
Dr Abdul Rahman yang juga Menteri Muda Utiliti (Bekalan Air) menjelaskan, pembinaan masjid tersebut dijangka mengambil masa 16 bulan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan tahun 2022.
“Buat sementara waktu, penduduk Kampung Semarang menunaikan solat menggunakan surau di kampung bersebelahan iaitu Surau An-Nur Kampung Sungai Durian Semarang,” ujarnya.
Fenomena air pasang besar yang melanda Sabtu lalu memusnahkan masjid di tepi pantai di Kampung Semarang.
Masjid itu rosak teruk dipukul ombak ketika air pasang besar melanda pada 4.30 petang.