KUALA LUMPUR, 17 Nov (Bernama) — Pengilang-Pengilang Malaysia dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) diminta untuk terus berdaya saing di pasaran antarabangsa selepas pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Perjanjian RCEP dianggap sebagai perjanjian perdagangan bebas (FTA) terbesar di dunia akhirnya ditandatangani Ahad lepas selepas melalui 31 pusingan rundingan selama lapan tahun.
Mengulas mengenai perjanjian perdagangan itu, Presiden Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap berkata persaingan itu tidak dapat dielakkan di pasaran perdagangan global yang kini sedang direvolusikan oleh teknologi digital serta e-dagang .
“Oleh itu, penting bagi pengeluar dan PKS di Malaysia untuk menumpukan perhatian kepada menjaga kualiti dan standard produk serta pembangunan jenama supaya kekal kompetitif di pasaran antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Ter berkata sektor tekstil dan pakaian tempatan dijangka akan terjejas oleh pesaing dari negara yang menawarkan kos murah seperti Vietnam, sementara industri produk kayu juga akan menghadapi persaingan dari negara-negara lain.
Bagaimanapun, pada masa yang sama, perniagaan Malaysia akan dapat menikmati akses yang lebih baik kepada bahan mentah yang berkualiti dengan harga yang kompetitif di bawah RCEP, katanya.
“Persekitaran perniagaan yang sihat dan kompetitif dapat meningkatkan inovasi, kecekapan dan kejuaraan, manakala perkhidmatan penghantaran perlu kompetitif dalam menyediakan persekitaran perniagaan yang cekap, berkesan dan kondusif untuk memudahkan perniagaan,” katanya.
RCEP menggariskan komitmen kumpulan tersebut terhadap amalan perdagangan bebas dan adil untuk menangani gelombang perlindungan yang semakin meningkat, beliau meluahkan keyakinan bahawa ia akan memperkukuhkan kedudukan Malaysia pada masa depan.
Beliau berkata halangan yang berkurangan dan penyelarasan peraturan dan undang-undang untuk mempermudahkan perdagangan akan meningkatkan perdagangan Malaysia dengan negara-negara tersebut, menambahbaik akses pasaran untuk barangan dan perkhidmatan, sekaligus menarik perusahaan asing memasuki pasaran ASEAN yang lebih bersepadu.
Ter berkata RCEP akan meningkatkan ketelusan dalam perdagangan dan pelaburan dan juga memudahkan kemasukan PKS dari negara anggota ASEAN ke rantaian bekalan global dan serantau.
Beliau berkata peningkatan kesalinghubungan akan menjadi pertanda baik untuk industri perjalanan pelancongan, perhotelan dan penerbangan domestik, sementara syarikat yang mengkhususkan diri dalam industri seperti telekomunikasi, perbankan, kewangan, serta perundingan akan mendapat keuntungan menerusi jalninan kerjasama di bawah RCEP.
— BERNAMA