Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Limpahan Air Pasang Besar Di Kuala Selangor Surut Sepenuhnya

ByEekbal Yusuf

SHAH ALAM: Limpahan air laut di Jalan Persekutuan berdekatan Pasaraya Mustafa dan Lorong Yunus Sungai Sembilang, Kuala Selangor ekoran fenomena air pasang besar pada pukul 6.25 pagi tadi, surut sepenuhnya selepas dua jam kemudian.

Pegawai Operasi Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor, Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir dalam kenyataan hari ini berkata sehingga pukul 11.30 pagi, semua kawasan di daerah Kuala Selangor yang mengalami limpahan kecil air laut melepasi ban atau benteng juga telah surut sepenuhnya.

Beliau berkata kawasan yang mengalami limpahan kecil air laut bagi daerah itu adalah di sekitar Bagan Pasir Tanjung Karang; Jeti Nelayan Sungai Kajang; Jalan Sungai Dungun; Bagan Sungai Kajang; Kampung Tok Ada; Ikan Bakar Pantai Jeram; Bagan Pasir Penambang; Bagan Sungai Janggut; Tambak Jawa dan kawasan Sungai Buloh Sasaran.

Katanya, beberapa lokasi lain antaranya di Pelabuhan Klang yang turut mengalami limpahan kecil air laut ekoran fenomena air pasang besar awal pagi tadi, juga telah surut sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, fenomena air pasang besar itu telah mengakibatkan ban di Pantai Kelanang, Kuala Langat retak sepanjang 10 meter, namun kerja-kerja pembaikan sedang dilaksanakan oleh Jabatan Pengaliran dan Saliran Negeri Selangor.

Tambah Muhammad Izzat Haziq, walaupun berlaku beberapa limpahan kecil air ekoran fenomena berkenaan di lima daerah tumpuan iaitu Klang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sabak Bernam serta Sepang sejak semalam, namun tiada pemindahan penduduk dilakukan dan situasi adalah terkawal.

Fenomena air pasang besar dengan ketinggian air laut mencecah sehingga 5.8 meter melanda pesisir pantai di lima daerah di Selangor sejak September lepas hingga awal pagi tadi.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan