KOTA KINABALU: Struktur pengurusan, pemantauan bantuan dan peruntukan COVID-19 tetap kekal di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan tiada cadangan untuk melibatkan Parlimen buat masa ini, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahannya, Datuk Masidi Manjun.
Masidi berkata walaupun berdepan isu penyesuaian pada peringkat awal, struktur pengurusan dan pemantauan kini berjalan lancar, justeru kerajaan negeri berpandangan ia harus dikekalkan dan akan ditambah baik sekiranya perlu.
“Lihat struktur itu sendiri, peringkat negeri diturunkan ke daerah, dalam kawasan pentadbiran daerah itu diketuai pegawai daerah, majlis perbandaran, datuk bandar dan sebagainya yang menyalurkan serta memantau bantuan dan peruntukan itu. Kita rasa itu struktur baik daripada (segi) pemantauan dan koordinasi.
“Kerajaan Persekutuan juga memberikan kepercayaan penuh kepada kerajaan negeri yang juga bekerjasama dengan jentera Persekutuan untuk buat agihan bantuan, saya fikir sistem itu kini berjalan lancar,” katanya pada sidang media di sini malam tadi.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tentang syor seorang aktivis sosial dan hak asasi manusia Datuk Patrick Sindu, Rabu lepas yang mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa peringkat Parlimen untuk memantau penyaluran bantuan serta peruntukan COVID-19 di negeri itu.
Sementara itu, Masidi berkata mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah membenarkan semula operasi taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia Negeri Sabah dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Beliau berkata SOP itu antara lain menggariskan had operasi taska antara 6 pagi hingga 6 petang dengan kapasiti taska 50 peratus tertakluk kepada keluasan lantai serta penjarakan sosial, selain menggunakan aplikasi MySejahtera atau SabahTrace dan buku log harian.
“Jika suhu 37.5 darjah Celsius, kanak-kanak tidak dibenarkan masuk ke taska. Selain itu, aktiviti berkumpulan atau bersentuhan tanpa penjarakan fizikal, berkongsi peralatan dan pakaian juga tidak dibenarkan,” katanya.
Beliau berkata mesyuarat JPBN Sabah juga membenarkan aktiviti sukan tidak bersentuhan fizikal, secara individu atau kumpulan yang tidak melebihi 10 orang pada satu-satu masa.
Katanya venue aktiviti sukan itu hanya dibenarkan beroperasi dari 6 pagi hingga 10 malam dengan kapasiti 50 peratus pekerja pada satu-satu masa.
— BERNAMA