MELAKA: Program latihan atlet Para Sukan Malaysia (Sukma) Melaka dihentikan serta-merta sehingga 6 Dis ini, kata Exco Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Beliau berkata, bagaimanapun, program latihan bagi atlet Sukma Melaka akan diteruskan dan dijalankan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Keputusan ini diambil atas dasar kepentingan kesihatan, kesejahteraan dan kebaikan semua pihak yang terlibat dalam menghadapi cabaran wabak COVID-19.
“Justeru itu, program latihan berpusat atlet yang sedia ada di bawah kendalian Majlis Sukan Negara dan Majlis Sukan Negeri Melaka boleh diteruskan secara tertutup dan terkawal,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mohd Rafiq turut mengingatkan penggiat sukan dan rekreasi termasuk pemilik dan operator fasiliti seperti padang bola sepak, kompleks sukan, dewan badminton, gimnasium, kolam renang dan pusat rekreasi di negeri ini agar terus mematuhi arahan MKN.
Isnin lalu, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukma dan Para Sukma 2020 di Johor terpaksa dibatalkan ekoran ketidaktentuan penularan wabak COVID-19 yang telah memasuki gelombang ketiga di negara ini.
— BERNAMA