Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Belanjawan 2021 Tidak Menganaktirikan Sarawak – Rohani

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2021 yang dibentang di Dewan Rakyat Jumaat lepas tidak ‘menganaktirikan’ Sarawak, malah dapat membantu Bumi Kenyalang itu membuat persediaan menjadi negeri maju menjelang 2030.

Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) berkata Sarawak turut memperoleh jumlah peruntukan besar yang tidak secara langsung seperti diumum Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Antaranya menurut Rohani, Sarawak mendapat semula peruntukan untuk penyukatan perimeter Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang dihentikan dalam Belanjawan 2020 yang lalu.

“Sarawak turut mendapat peruntukan besar yang memberi manfaat terus kepada golongan sasar iaitu seperti peruntukan kebajikan untuk golongan penerima bantuan bulanan serta peruntukan yang disalurkan kepada usahawan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Bukan itu sahaja, Sarawak turut mendapat agihan menerusi peruntukan yang disalur melalui kementerian-kementerian lain…Oleh yang demikian, bagi saya, tidak timbul isu Sarawak dianaktirikan, bahkan kesemua peruntukan ini akan dapat membantu Sarawak membuat persediaan menjadi negeri maju menjelang tahun 2030,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 (Belanjawan) di Dewan Rakyat, pada Isnin.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 pada Jumaat memperuntukkan Sarawak perbelanjaan pembangunan sebanyak RM4.5 bilion yang antaranya untuk membina dan menaik taraf infrastruktur air, elektrik dan jalan raya, kemudahan kesihatan serta pendidikan.

Sementara itu, Rohani berkara pengumuman kerajaan untuk memperluaskan perkhidmatan bank bergerak di Sabah dan Sarawak seperti yang dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak sebelum ini adalah satu langkah yang cukup prihatin.

“Seperkara tentang bank bergerak yang telah diumumkan, realiti apa yang berlaku di Sarawak terutamanya di kawasan luar bandar, mereka perlu beratur panjang di bank untuk mendapatkan wang bantuan ekoran kekurangan perkhidmtan bank di kawasan itu.

“Ada yang sanggup menunggu dan tidur di luar bank seawal  4 pagi bagi mengelak beratur di kawasan yang panjang,” katanya.

Ketika membentangkan perkara itu Jumaat lepas, Tengku Zafrul berkata langkah itu dapat membantu masyarakat yang sukar mendapat akses perbankan asas seperti pemindahan wang, pembayaran bil dan kemudahan mengeluarkan wang bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan