Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Tiada Sekatan Pergerakan di Kuching Buat Masa Ini

ByConnie Grace

KUCHING, 29 Okt — Tiada sekatan perjalanan dikenakan antara bandar raya Kuching dan daerah lain di Sarawak buat masa ini, meskipun bandar raya itu dikategorikan sebagai zon merah COVID-19 sejak, Selasa lepas.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang juga Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas menasihatkan penduduk dari luar bandar raya ini agar tidak mengunjungi daerah itu sekiranya mereka tidak mempunyai sebarang alasan mendesak atau penting untuk melakukan perjalanan.

“Begitu juga sebaliknya, kami berharap mereka yang berada di Kuching agar menahan diri daripada pergi ke daerah lain di Sarawak. Jaga diri dan tinggal sahaja di rumah,” katanya kepada pemberita selepas mengunjungi bilik operasi Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Kampung Haji Baki, pada Khamis.

Beliau berkata JPBN perlu mempertimbangkan pelbagai faktor sebelum mengenakan PKPD dan sekatan secara menyeluruh yang akan menyekat semua pergerakan antara daerah.

“Kami juga telah berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang telah menyatakan keprihatinan bahawa ramai orang dan komuniti perniagaan akan menghadapi banyak masalah berikutan sekatan secara menyeluruh,” katanya.

Uggah berkata, buat masa ini PKPD hanya dilaksanakan di Kampung Haji Baki sementara di kawasan lain seperti Green Hill yang mencatat kes positif melonjak kepada 20 kes semalam, telah dilancarkan operasi Pengesanan Kes secara Aktif (ACD).

Di samping itu, beliau berkata JPBN juga telah mengeluarkan perintah larangan operasi terhadap tempat-tempat hiburan seperti bar, ruang istirahat, karaoke atau pub, gimnasium awam dan swasta serta perhimpunan yang melebihi 200 orang di daerah ini.

Mengenai PKPD yang dilaksana di Kampung Haji Baki di sini sejak semalam hingga 10 Nov, beliau berkata ia pertama kali dilakukan di Sarawak berikutan kes positif yang semakin meningkat.

Katanya, seramai  4,196 orang dari 627 isi rumah di Kampung Haji Baki terlibat dengan PKPB itu.

“Jabatan Kesihatan diharapkan dapat mengadakan ujian kira-kira 600 orang, namun 845 orang menjalani ujian berkenaan semalam.

“Ini menunjukkan bahawa penduduk kampung memahami apa yang kita lakukan iaitu bukan untuk menyusahkan mereka sebaliknya untuk mengawal penularan lebih serius penyakit itu,” tambahnya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan