Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

STB Sasar 1,000 Pemandu Grab Sertai Program Duta Pelancongan

KUCHING: Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) bersama-sama Grab Academy hari ini melancarkan ‘Sarawak Ambassador Programme on Learning for e-Hailing Drivers’ yang menyasarkan 1,000 pemandu Grab dengan objektif menjadikan mereka sebagai duta pelancongan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Sharzede Salleh berkata program itu juga menjadikan Sarawak sebagai negeri pertama yang dilengkapi dengan modul kesedaran pelancongan untuk pemandu e-panggilan (e-hailing).

Beliau berkata di bawah program itu, Grab Malaysia akan merujuk pangkalan data pemandu e-panggilan yang berpusat di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri untuk penyertaan dalam latihan e-pembelajaran itu.

“Modul (e-pembelajaran) yang disediakan dalam bahasa Melayu, Inggeris dan Mandarin akan meliputi maklumat mengenai Sarawak, budaya dan warisan serta destinasi pelancongan,” katanya pada majlis pelancaran program itu oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak Hii Chang Kee di sini.

Beliau berkata inisiatif ini dengan Grab Academy adalah sebahagian daripada usaha berterusan kementerian dan STB untuk mengukuhkan landasan negeri dalam menghadapi pelbagai cabaran.

Sementara itu, Hii berkata program itu akan membantu pemandu Grab mengetahui lebih banyak tentang Sarawak dan kandungan mengenai tarikan pelancongan yang ada di Kuching, Sibu, Bintulu dan Miri.

“Apabila mereka menerima pelanggan, saya rasa di sinilah peranan mereka sebagai duta, mereka akan menyebarkan maklumat, mesej dan apa yang mereka tahu kepada pelanggan, khususnya jika pelanggan dari luar Sarawak atau bandar lain,” katanya.

Hii berkata program itu terbuka untuk kira-kira 4,000 hingga 5,000 pemandu Grab di Sarawak dan pihaknya berharap sekurang-kurangnya 1,000 daripada mereka dapat menyertai program berkenaan tahun ini secara sukarela dan e-pembelajaran mereka akan bermula sejurus selepas pelancaran.

“Semasa tempoh pandemik ini, kami tidak mahu duduk dan tunggu sahaja. Walaupun sempadan (Sarawak) mungkin ditutup, saya rasa inilah masa terbaik untuk kementerian dan STB meningkatkan kemampuan pemain industri,” katanya.

— BERNAMA

Tags: #bm

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment


Berita Berkaitan