KUALA LUMPUR, 3 Feb: Malaysia dan Sweden bersetuju meneruskan usaha bersama bagi memerangi Islamofobia dan apa jua bentuk diskriminasi lain, selain meneroka pelbagai cara untuk saling bekerjasama secara toleransi, aman dan damai.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata perkara itu antara yang dipersetujui dalam pertemuannya dengan Duta Sweden ke Malaysia Dr Joachim Bergstrom hari ini, susulan insiden membakar naskah al-Quran di Sweden baru-baru ini.