
KUALA LUMPUR, 20 Nov: Yang di-Pertuan Agong menitahkan semua ketua parti politik dan gabungan parti politik yang mendapat jumlah kerusi yang banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), memaklumkan kepada Istana Negara mengenai gabungan parti, dan menamakan calon Perdana Menteri yang dipersetujui untuk membentuk kerajaan baharu sebelum jam 2 petang esok.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima maklum bahawa pada PRU-15 semalam, tiada gabungan parti politik yang berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen.