Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Sudah dua minggu berlalu selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 pada 30 Julai, namun masih banyak premis perniagaan dan pejabat belum dihiasi atau mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan pada tahun ini.

Kempen Kibar Jalur Gemilang masih hambar

ByBernama

KUALA LUMPUR, 14 Ogos : Sudah dua minggu berlalu selepas pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2022 pada 30 Julai, namun masih banyak premis perniagaan dan pejabat belum dihiasi atau mengibarkan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan pada tahun ini.

Tinjauan Bernama di sekitar ibu negara mendapati hanya sebahagian bangunan seperti premis kerajaan termasuk hospital, pejabat, sekolah, jalan raya dan taman awam telah dihiasi dengan Jalur Gemilang.

Walaupun pelbagai aktiviti dan pengisian telah diatur oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membangkitkan kemeriahan sambutan Bulan Kebangsaan selepas dua tahun ia tidak disambut secara besar-besaran kerana pandemik COVID-19, namun penglibatan daripada pihak swasta masih hambar.

Mengulas perkara itu, Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berpandangan trend Jalur Gemilang tidak dikibarkan di premis perniagaan atau pejabat swasta bukan perkara baharu dan ia telah berlaku kira-kira 10 tahun kebelakangan ini.

Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata sikap sedemikian adalah sangat tidak baik untuk proses pembentukan bangsa dan imej negara apatah lagi apabila pelancong asing yang datang pada ‘musim’ ini tidak merasai kemeriahan sambutannya.

“Kelakuan ini (tidak mengibarkan Jalur Gemilang) tidak mencerminkan sikap cintakan negara, apalah sangat belanja untuk membeli Jalur Gemilang yang sambutannya disambut hanya setahun sekali. Kibar bendera adalah perbuatan paling mudah bagi menunjukkan kita cintakan negara,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Sehubungan itu, tegas Teo sudah tiba masanya Akta Kerajaan Tempatan 1976 Seksyen 107 (2) yang menjadi  syarat pelesenan untuk premis mengibarkan bendera negara atau negeri pada waktu sambutan perayaan kenegerian dan kenegaraan dipinda kerana denda maksimum RM250 yang diperuntukkan tidak lagi setimpal.

“Bagi saya, ia (undang-undang) perlu dipinda kerana saban tahun kita merungut perkara sama kemudian senyap dan timbul balik pada tahun depan. Kalau ada penguatkuasaan daripada PBT sudah tentu akan ada peningkatan kibaran Jalur Gemilang.

“Denda yang sedia ada itu mungkin perlu lebih tinggi atau hukuman batal syarat lesen sebagai pengajaran. Mereka sengaja tidak mahu (kibarkan Jalur Gemilang) sedangkan peraturan sudah pun ada,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Warisan dan Peradaban, Universiti Islam Malaysia (UIM), Tan Sri Profesor Dr Abdul Latiff Abu Bakar berkata bendera adalah wadah yang menggambarkan imej sesebuah negara dan mengibarkannya pada hari penting seperti sambutan Hari Kebangsaan perlu dilaksanakan semua pihak sebagai tanda kasih sayang kepada negara.

“Kita selalu mempersoalkan dan meminta-minta dengan kerajaan (yang mentadbir negara), tapi lupa tidak ada apa usaha pun yang kita lakukan demi menzahirkan perasaan gembira atas nikmat yang dikecapi sejak mencapai kemerdekaan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata beliau akan berhubung dengan pemilik bangunan dan premis perniagaan untuk sama-sama memasang Jalur Gemilang sebagai usaha menjayakan sambutan Hari Kebangsaan kali ini.

“Saya boleh pergi (meninjau) di sekitar pusat perniagaan (CBD) Kuala Lumpur dahulu. Daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), banyak bendera yang telah kita pasang, sampaikan bendera kecil di celah-celah pokok pun kita pasang bagi menunjukkan kesungguhan menyambut Hari Kebangsaan Ke-65 selepas dua tahun sambutannya tidak diadakan secara fizikal,” katanya.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan