DARO 14 Ogos : Pesta Daro, yang diadakan selama 10 hari dan berakhir hari ini, berjaya mengetengahkan Daro sebagai tempat menarik untuk dikunjungi.
Pada masa sama, ia juga telah berjaya membantu meningkatkan ekonomi penduduk Daro.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Daro, Safiee Ahmad, berdasarkan rekod sepanjang pesta, ada dalam kalangan peniaga yang berjaya memperoleh RM4,000 sehari hasil daripada jualan mereka.
“Malahan, secara keseluruhannya, perolehan ekonomi hampir RM1 juta dapat dicapai peniaga di gerai jualan di Daro di sini.
“Baik dari segi tempat penginapan, hotel, kedai kopi dan banyak lagi, orang Daro di sini mendapat keuntungan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Pesta Daro di sini hari ini.
Menurutnya, dengan hanya 159 gerai jualan sahaja yang berdaftar, ia menunjukkan pesta itu mendapat sambutan yang begitu baik daripada kalangan peniaga dari dalam dan luar Daro, seperti Miri, Kuching dan sebagainya.
Safiee turut memberi jaminan bahawa, setelah siapnya Projek Jambatan Batang Paloh, Jambatan Lassa, Jambatan Igan dan jambatan lain di sekitar daerah Daro pada suatu hari nanti, Pesta Daro pada masa akan datang dijangka akan menjadi lebih meriah dan menjadi tumpuan ramai dari seluruh pelosok Sarawak.
Keadaan Daro kini jelas tidak seperti Daro pada suatu ketika dahulu, selepas pembangunan berjalan dengan cukup pesat, hasil pentadbiran pemimpin terdahulu yang diteruskan oleh pemimpin terkini.
“Meskipun perkhidmatan feri kini masih digunakan masyarakat tetapi mereka dilihat sanggup berbaris panjang untuk pergi ke Pesta Daro.
“Jika semua perkhidmatan feri sudah tiada nanti dan semuanya menggunakan jambatan, maka mudah bagi orang ramai untuk bergerak ke Daro.
“Ini sekaligus menjadikan Daro sebagai lokasi tumpuan dan berlaku limpahan pembangunan ekonomi buat masyarakat setempat,” katanya. – TVS