Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: TVS

Kualiti udara di Sarawak pada tahap baik hingga sederhana

ByNurul Amarlina

KUCHING, 12 Ogos: Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa bahagian di Sarawak berada pada tahap baik hingga sederhana.

Namun demikian, Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak memaklumkan menerusi satu kenyataannya bahawa IPU di Tebedu pada 9 Ogos merekodkan bacaan Tidak Sihat, iaitu 132.

“Walau bagaimanapun, bacaan IPU di Tebedu telah menunjukan tren menurun ke tahap sederhana semenjak 11 Ogos 2022.

“Sementara itu, bacaan IPU di bahagian-bahagian lain di Sarawak adalah pada tahap baik hingga sederhana,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, NREB juga memberitahu dalam tempoh antara 8 hingga 11 Ogos, sebanyak 25 titik panas dikesan di Sarawak manakala sejumlah 619 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia, dalam tempoh yang sama.

“ASMC telah mengesan sebanyak 185 (8 Ogos 2022), 262 (9 Ogos), 73 (10 Ogos), dan 99 (11 Ogos) titik panas di Kalimantan, Indonesia, manakala terdapat sebanyak lima, 17, satu dan dua titik panas di Sarawak pada tarikh-tarikh yang sama.” 

Menurut NREB, pergerakan angin Monsun Barat Daya telah membawa jerebu dari kawasan titik panas di negara jiran ke Sarawak yang mengakibatkan kemerosotan kualiti udara di beberapa kawasan di selatan Sarawak.

Menurut laporan cuaca yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, negara sedang berada pada fasa Monsun Barat Daya yang dijangka akan berterusan hingga pertengahan September 2022.

Lazimnya, dalam tempoh ini, negara berdepan dengan musim panas yang berpanjangan di mana kebanyakan tempat cenderung menerima bilangan hari tanpa hujan yang lebih tinggi berbanding bilangan hari hujan.

Dalam tempoh ini, pembakaran dan tompokan titik panas dijangka mudah berlaku.

Titik panas ini dijangka mudah merebak jika cuaca kering berpanjangan dan boleh meningkatkan risiko jerebu. 

Dalam pada itu, pihak NREB memberi peringatan kepada orang ramai untuk tidak melakukan kesalahan yang menyebabkan berlakunya pencemaran udara, terutamanya pada musim panas.

Mereka yang disabit kesalahan melakukan pembakaran terbuka boleh didakwa di bawah peruntukan Seksyen 30(1)(a) dan Seksyen 30(2) Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak (Pindaan 2019).  

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai diminta melaporkan kesalahan pembakaran terbuka kepada Pejabat NREB berdekatan atau Whatsapp Hotline NREB di 013-7595 866 atau 082-319 543. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan