ALOR SETAR, 10 Ogos : Kerajaan Kedah akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada terhadap individu yang mencemari acara Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) dengan berpakaian menjolok mata baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr. Mohd. Hayati Othman berkata, pihaknya telah memanggil wakil pusat beli-belah Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung insiden itu selepas beberapa keping gambar tular di media sosial.
Katanya, hasil pertemuan tersebut, difahamkan individu berkenaan bukan peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian dalam acara berkenaan.
“Individu itu difahamkan adalah seorang mak nyah yang berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai, mengambil gambar dan video serta memuat naik ke media sosial.
“Tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan Peraturan-peraturan kecil berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila di negeri itu.
Terdahulu tular di media sosial beberapa keping gambar seorang individu berperwatakan wanita yang mengenakan pakaian berwarna hijau sambil mendedahkan bahagian tengah dada pada acara KFW22 yang berlangsung pada 5 hingga 7 Ogos lalu.
Tindakan itu mendapat kecaman warganet termasuklah kritikan terhadap Kerajaan Negeri dan pihak penganjur.
KFW merupakan acara tahunan anjuran pusat beli-belah terbabit yang diadakan untuk mempamer dan mempromosikan pakaian berjenama tempatan. – TVS