KUCHING, 10 Ogos : Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Hamzah menegaskan, usaha setiap atlet yang bertanding tidak seharusnya diperlekeh.
Katanya, setiap atlet yang bertanding telahpun memberikan aksi yang terbaik di pentas akhir mereka.
Malah beliau percaya, atlet bertanding juga telah berusaha keras, berlatih tanpa mengira waktu bagi memperbaiki mutu persembahan masing-masing.
Beliau berkata demikian sebagai menegur penulisan sebuah akhbar tempatan yang disifatkan seperti memperlekeh prestasi Ratu Terjun Negara, Dato Pandalela Rinong dalam temasya Sukan Komanwel baru-baru ini.
“Saya agak kecewa dengan penulisan yang bertajuk ‘Pandelela balik dengan tangan kosong’. Untuk seseorang itu mewakili negara, mereka sudah berlatih siang dan malam.
“Kita tidak sepatutnya melayan ‘Hero Kebangsaan’ kita seperti itu hanya kerana mereka tidak berjaya meraih sebarang pingat,” katanya pada satu sidang media setelah merasmikan Kongres Antarabangsa Psikologi Sukan Persatuan Asia-Pasifik Selatan (ASPASP) 2022 semalam.
Pada temasya Sukan Komanwel Birmingham yang menutup tirainya pada Isnin, rezeki tidak memihak kepada anak jati Sarawak itu apabila menamatkan acara akhir 10m platform wanita di kedudukan ke-11 daripada 12 penerjun. – TVS