KUCHING, 7 Ogos : Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) Sarawak dihadiri seramai 87,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjurannya.
Menteri Kanan Kerja Raya, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, sambutan baik itu mencerminkan bahawa apa yang dihasratkan kerajaan iaitu semangat kebersamaan dan keterangkuman, jelas dihayati oleh penduduk Sarawak.
“Sebab itu Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Sarawak dapat sambutan begitu baik sekali dalam semua aspek sama ada dari segi jualan murah, pameran termasuk juga kenduri rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis kenduri rakyat di Stadium Perpaduan di sini, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg turut bersama lebih 1,500 pengunjung menikmati hidangan tengah hari dalam stadium manakala lebih 4,000 pengunjung di luar stadium. -TVS