BIRMINGHAM, 6 Ogos : Hari yang bertuah. Satu aksi yang menakjubkan daripada atlet muda gimrama kebangsaan Ng Joe Ee.
Selepas beberapa jam dikalungkan pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 menerusi disiplin bola, Joe Ee menyerlah sekali lagi untuk meraih satu lagi emas hari ini dalam disiplin riben yang penuh dengan penonton di Arena Birmingham.
Joe Ee yang buat julung kali beraksi dalam temasya sukan ini mempamerkan aksi hebat sejak dari mula hingga akhir untuk meraih markah tertinggi 27.800 mata meninggalkan  Louise Christie dari Scotland yang meraih perak dengan 27.550 mata sementara wakil Kanada Carmel Kallemaa memperoleh gangsa dengan 27.500 mata dalam satu pertandingan sengit di sini.
Apa yang lebih menarik, emas yang diraih Joe Ee itu membantu kontinjen negara untuk mencapai enam emas seperti yang disasarkan untuk temasya sukan ini.
Pada masa sama, kekecewaan dirasakan Koi Sie Yan yang meraih gangsa dalam acara sama pada edisi Gold Coast 2018 selepas beliau hanya memperoleh 27.200 mata untuk meraih pingat keempat.
Sementara itu, selepas aksi hambar dalam final disiplin gelung, Izzah Amzan akhirnya menarik nafas lega apabila berjaya meraih gangsa dalam final disiplin belantan.
Izzah mengumpul 28.600 mata sementara wakil Australia Kiroi-Bogatyreva memperoleh 29.400 mata untuk menjuarai acara itu diikuti gimnas Kanada Carmel Kallemaa yang memperoleh perak dengan 29.100 mata. –TVS