BELAGA, 6 Ogos : Penduduk Murum terputus hubungan ekoran kejadian tanah runtuh di Jalan Murum – Belaga, dekat sini, petang semalam.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 5 Sarawak, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Kamarudin Wan Ahmad berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Belaga menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian pada pukul 5 petang.
Katanya, setibanya di lokasi yang terletak kira – kira 70 kilometer (km) dari Belaga, anggotanya mendapati jalan raya utama telah runtuh hampir 90 peratus.
“Kejadian itu menyebabkan laluan berkenaan tidak boleh dilalui oleh kenderaan kecil atau besar,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, penduduk Murum dinasihatkan supaya menggunakan jalan alternatif.
Kejadian itu dipercayai berpunca akibat hujan lebat yang berterusan sejak petang semalam.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak memaklumkan, jalan menghala ke Empangan Murum di Belaga telah ditutup sementara sehingga kerja-kerja baik pulih selesai.
Orang awam boleh menghubungi JKR Bahagian Kapit di talian 084-796040 pada waktu bekerja untuk maklumat lanjut. – TVS