GEORGE TOWN, 6 Ogos : Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar selamat diijab kabul dengan Yin Shao Loong dalam satu majlis ringkas di Kuala Lumpur petang semalam.
Difahamkan, Shao Loong merupakan penyelidik di Khazanah Research Institute.
Nurul Izzah berkata, majlisnya berwalikan bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil disaksikan keluarga terdekat.
“Kami memohon doa kalian semua agar kita sentiasa di bawah perlindungan Allah SWT,” kata Naib Presiden PKR itu menerusi kenyataan di Facebook.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ibu Nurul Izzah, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau sebelum ini pernah berkahwin dengan Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim pada 2003 sebelum berpisah pada 2015 dan dikurniakan dua cahaya mata.
Shao Loong, 46, pernah berkhidmat sebagai pengarah eksekutif badan pemikir PKR di Institut Rakyat yang diketuai Nurul Izzah. – TVS