KAPIT, 5 Ogos : Seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dikhuatiri lemas selepas perahu yang dinaiki bersama keluarganya karam di Sungai Rajang berhampiran Wharf Batu, di sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Timoty Barat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 9.45 pagi tadi.
Katanya, berdasarkan laporan, kejadian itu berlaku semasa bapa mangsa bersama isteri dan dua orang anaknya sedang menaiki perahu untuk menyeberangi sungai menuju ke Pekan Kapit.
“Ketika dalam perjalanan, enjin sangkut perahu berkenaan mengalami masalah yang menyebabkannya hanyut dan terlanggar kapal tongkang yang berlabuh di kawasan itu.
“Akibat pelanggaran itu, perahu itu karam,”katanya ketika dihubungi TVS di sini hari ini.
Katanya lagi, bapa mangsa dan isterinya serta seorang anak mereka berjaya menyelamatkan diri dengan berenang namun seorang anak lelakinya ‘hilang’.
“Mangsa dikenali sebagai Jenggut Antas. Mereka berasal dari Rumagh Agang Nanga Setikam, Kapit,” katanya.
Setakat ini, operasi mencari dan menyelamat (SAR) sedang giat dilakukan di kawasan kejadian. -TVS