KUCHING 4 Ogos : Wanita besi Sarawak, Grace Wong layak ke final acara lontar tukul besi wanita pada penampilan sulungnya di Sukan Komanwel Birmingham 2022.
Juara Sukan SEA Vietnam itu mencatatkan lontaran 59.53 meter pada saingan kelayakan Kumpulan A untuk menduduki tempat ke-12 daripada 17 peserta yang mengambil bahagian.
Mengikut keputusan rasmi laman web Sukan Komanwel 2022, wakil Kanada, Camryn Rogers menduduki tempat teratas pusingan kelayakan malah turut memecah rekod kejohanan apabila melakukan 74.68 meter.
Atlet New Zealand, Julia Ratcliffe pula menamatkan saingan di tempat kedua selepas melakukan lontaran sejauh 68.73 meter.
Wakil tuan rumah, Anna Purchase melengkapkan tiga kedudukan teratas kelayakan acara itu menerusi catatan 66.45 meter.
Sementara itu, Bernama melaporkan pemegang rekod 200 meter kebangsaan, Russel Alexander Nasir Taib mencapai matlamatnya pada penampilan sulung di temasya Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila layak ke pusingan separuh akhir acara 200m lelaki, esok.
Russel, yang berpangkalan di Australia, merakamkan 21.13 saat (s) untuk muncul pelari kedua terpantas pada pusingan pertama saringan ketujuh di belakang pemenang dari Kenya, Kiviasi Asamba (20.76s) di Stadium Alexander. -TVS